“Walaupun hanya berbeza beberapa darjah sahaja, namun itu pun sudah sangat serius, tetapi kita boleh menyesuaikan diri. Hakikatnya, proses pemanasan mungkin berlarutan dan menjadi tidak stabil. Kita mungkin akan hidup bagaikan berada di atas permukaan planet Venus, diselubungi oleh awan dan suhu permukaan yang mencecah sehingga 400 darjah celsius. Sudah terlambat jika kita menunggu sehingga kesan-kesan pemanasan global semakin nyata. Kita perlu bertindak segera untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida.” Professor Stephen Hawking, Lucasian Professor of Mathematics, Cambridge University
Karbon dioksida (CO2) merupakan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang kepada perubahan ilkim yang disebabkan oleh pelepasan karbon yang tidak terkawal ke atmosfera sejak revolusi perindustrian dan penemuan minyak petrol. Kesan rumah hijau berlaku disebabkan oleh penebalan atau peningkatan kandungan GHG di atmosfera yang menghalang haba-haba meresap ke luar angkasa. Tatkala kesan rumah hijau ini telah menjadi satu lapisan ‘selimut’, ini menyebabkan purata suhu Bumi meningkat.
Dari mana datangnya gas rumah hijau (GHG)?
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Australia Greenhouse Office, didapati bahawa penyumbang utama pelepasan gas rumah hijau adalah pengguna sendiri, yang menyumbang sebanyak 30 peratus daripada jumlah pelepasan karbon. Selain itu, negara yang menduduki tempat teratas dalam pelepasan karbon per kapita adalah Qatar yang melepaskan sebanyak 60 ton GHG dalam setahun. Malaysia pula menduduki tempat ke-56.
Apakah yang kita boleh lakukan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menuju ke arah tanpa karbon?
Untuk mencapai tujuan ini, kunci kejayaan ialah mengurangkan dari segi penggunaan dan meningkatkan kecekapan. Antara cara-cara itu ialah:
a) Alat-alat
- Gunakan peralatan elektrik daripada model yang jimat tenaga yang berkecekapan tinggi. Semak penarafan bintang dan kecekapan dalam label peralatan elektrik.
- Basuh pakaian. Hanya menggunakan mesin basuh apabila telah dipenuhi dengan pakaian. Basuh dengan menggunakan air sejuk dan mesin daripada jenis yang jimat air dan tenaga.
- Sidai pakaian. Gunakan ampaian kain jika boleh.
- Tutupkan televisyen apabila tidak ada orang menonton.
b) Pemanasan dan penyejukan
- Pasang penebat haba pada siling dan dinding.
- Menyediakan penggelapan luaran dan dalaman untuk cermin.
- Memaksimumkan penggunaan kipas dan kurangkan penggunaan pendingin hawa.
- Mengurangkan masa dan penggunaan air panas semasa mandi. Gunakan pancuran yang beraliran rendah.
c) Lampu
- Gunakan mentol lampu kelimantang (CFLs) dan lampu LED.
- Tutupkan bila tidak menggunakan lampu.
d) Perjalanan
- Setiap kilometer perjalanan menggunakan kereta, melepaskan GHG sebanyak 500g. Berjalan, mengayuh basikal dan menggunakan pengangkutan awam adalah lebih mesra alam berbanding daripada kereta.
- Beli jenis kereta yang mesra alam.
- Memandu dengan cekap.
- Mengurangkan bilangan menaiki kapal terbang.
e) Beli kredit karbon untuk GHG sendiri.
- Kredit karbon merupakan pasaran baru dan tidak dikawal dengan berkesan lagi. Soalan-soalan yang perlu dituju kepada penyedia atau pemborong karbon kredit (carbon offset):
- Apakah projek-projek atau aktiviti yang saya perlu bayar?
- Adakah skema ini diaudit secara berdikari dan disahkan?
- Adakah pelepasan GHG akan berkurang walaupun saya tidak beli karbon kredit?
- Berapakah harga seton karbon yang dijimatkan?
- Apakah kebaikan alam sekitar atau sosial yang skema anda boleh tawarkan?
(Sumber: CHOICE, November 2007)
Di Malaysia, karbon kredit (carbon offset) masih sukar didapati dan syarikat-syarikat yang menawarkan tawaran ini ialah Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan juga Firefly. Kedua-dua syarikat penerbangan ini menawarkan pengurangan karbon secara sukarela berdasarkan jarak perjalanan. Semua dana yang diperolehi menerusi sistem ini akan digunakan untuk menolong program-program di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelamatkan hutan hujan tropika di Malaysia. Program-program diurus oleh Institusi Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) di bawah pengawasan Kementerian Sumber Alam and Alam Sekitar (NRE).
Kesimpulannya, sikap dan amalan pengguna-pengguna di Malaysia mahupun di dunia perlu berubah dalam aktiviti harian mereka. Dengan mengurangkan pelepasan karbon dan jejak karbon, satu kehidupan tanpa karbon akan tercapai untuk generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment